Kelantan Dakwa 20 Peniaga Pasar Besar pasir Puteh

PASIR PUTEH: Seramai 20 peniaga Pasar Besar Pasir Puteh didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas kesalahan berniaga tanpa lesen.

Semua peniaga berusia antara 28 hingga 60-an itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Azem Fatihi Kamal.

Image result for peniaga pasar besar pasih puteh
Gambar diambil dari Utusan

Mengikut pertuduhan, mereka yang terdiri daripada 14 wanita dan enam lelaki didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) di Pasar Besar Pasir Puteh, di sini, jam 10 pagi, pada 15 Februari 2019.

Mereka didakwa mengikut Undang-undang Kecil 9, Undang-undang Kecil Majlis Daerah Pasir Puteh 2009 dan boleh dihukum mengikut Undang-undang Kecil 44, Undang-undang Kecil yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali dan jika kesalahan berterusan boleh didenda RM200 setiap hari sepanjang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Nur Ainisa Arifin, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding itu, dua peniaga turut dikenakan waran tangkap oleh mahkamah selepas gagal hadir pada sebutan kes itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 dan 22 April depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan, berlaku kekecohan apabila MDPP merobohkan Pasar Besar Pasir Puteh selepas beberapa notis pengosongan dikeluarkan dengan memberi tempoh yang dianggap lama untuk berpindah.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Bharu mengarahkan MDPP menangguhkan proses merobohkan pasar itu sehingga perbicaraan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya didengar pada 22 Mac.

Pembekal yang mewakili peniaga pasar turut memfailkan permohonan injunksi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Bache.

Advertisements