Kalau Tak Hantar Calon, Bagaimana Nak Dilantik?-Adly Jawab Nor Azman Isu Masjid

Seri Negeri, 21 Mac 2019 – Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka, Tuan Adly Bin Zahari memberikan penerangan jelas mengenai pelantikan jawatankuasa masjid yang dibangkitkan oleh ADUN Pantai Kundor, Datok Nor Azman Hassan.

Nor Azman telah membangkitkan mengenai pelantikan jawatankuasa masjid yang bukan dari ahli kariah kampung sendiri di dalam sidang DUN Negeri Melaka sebelum ini.

Image result for sidang dun melaka

Adly menjawab akan perihal isu tersebut dengan mengatakan bahawa permohonan untuk menjadi jawatankuasa masjid telah dibuka dalam satu tempoh yang telah ditetapkan.

Apa yang perlu dilakukan ialah masyarakat atau mereka yang ingin memegang amanah tersebut  perlulah menghantar borang pencalonan pada masa dan tarikh yang telah dimaklumkan.

“Kita beri tempoh, buatlah pencalonan dan kemukakan calon yang dimahukan. Tapi bila kita tutup pencalonan, tiada ahli kariah kampung tersebut yang mohon. Jadi, dari mana kita nak cari?” soal Adly dalam masa yang sama memberi penjelasan.

Bila tiada calon yang menghantar dan tempohnya sudah ditutup, ahli kariah kampung sebelah yang diambil untuk mengisi jawatankuasa masjid demi memudahkan pengurusan apatah lagi masjid akan menjadi penghubung yang dekat dengan masyarakat Melayu Islam.

“Kita ambil calon pun dari sebelah kampung aja, bukannya dari Indonesia macam yang Pantai Kundor sebut” seloroh Adly sebelum meneruskan sesi beliau.

Isu jawatankuasa masjid di Melaka menjadi polemik kerana ada pihak yang tidak mahu menghantar calon serta mengikuti prosedur yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Melaka, tapi pada masa yang sama mahu dilantik menjadi jawatankuasa.

Namun kini segalanya telah selesai dan ada masjid-masjid yang telah bergerak ke hadapan dengan menganjurkan program-program ilmiah untuk masyarakat.