Roboh Rumah Pusaka : Kerajaan Negeri Terengganu Bakal Disaman RM30 Juta

SEKELUARGA memfailkan saman RM30 juta terhadap kerajaan negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu susulan rumah pusaka mereka di Kampung Tanjung, Taman Selera, Kuala Terengganu dirobohkan.

Rumah kayu tradisional dua tingkat itu dibina pada 1941 dirobohkan pihak berkuasa pada 21 November tahun lalu.

Wakil keluarga berkenaan, Wan Mohamad Anwar Wan Yusof, 52, mendakwa keluarganya mempunyai bukti kukuh bahawa rumah dan tanah terbabit milik mereka.

“Terdapat wakil daripada kerajaan negeri yang menjadi saksi ketika surat ikatan jual beli dikeluarkan selepas arwah ayah saya membeli tanah ini daripada ibu saudaranya, Wan Mek Wan Yaacob pada 1971.

“Surat itu masih lagi ada dan sudah diserahkan kepada peguam kami dan untuk makluman, kami tidak pernah gagal membayar cukai tanah sejak 1977 lagi,” katanya ditemui di Kuala Terengganu, hari ini.

WAN Mohamad Anwar (depan, empat kiri) bersama ahli keluarga berkumpul untuk menuntut hak mereka dan memfailkan saman ke atas pihak berkuasa

Wan Mohamad Anwar berkata, tindakan saman itu diambil bagi mendapatkan keadilan kepada keluarganya terutama arwah ayah mereka, Wan Yusof Abdul Kader.

“Tidak timbul soal kami yang kini tinggal tujuh beradik, tamak tetapi kami perlu mendapatkan keadilan sewajarnya.

“Semua adik beradik kami juga bersetuju untuk mewakilkan saya sebagai plaintif bagi kes ini,” katanya.

Dua tahun lalu, Harian Metro pernah melaporkan mengenai seorang lelaki yang membuat tuntutan sebanyak RM20 juta sekiranya kerajaan mahu merobohkan rumahnya bagi tujuan pembangunan.

Namun pada 21 November tahun lalu, rumah kayu berusia 77 tahun itu menyembah bumi selepas ia dirobohkan pihak berkuasa kira-kira 10 pagi.

Memetik dari Harian Metro, kewujudan rumah berkenaan yang berada di tengah projek pembangunan mula tular selepas bapa pelakon Emma Maembong iaitu Ismail Embong melawat rumah itu dan kemudian menyedari ia kediaman didiami rakannya, dua tahun lalu.

Sementara itu, peguam yang mewakili keluarga terbabit, Azzan Aznan Abd Rahim berkata, tindakan merobohkan rumah itu melanggar undang-undang.

“Kami memohon mahkamah untuk mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah (Kuala Terengganu) mewartakan tanah yang dipertikaikan ini.

“Anak guam kami juga memohon ganti rugi punitif dan tauladan sebanyak RM30 juta atas pencerobohan selain tindakan defendan merobohkan rumah warisan ini.

“Saman sivil difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 19 Mac lalu terhadap Pentadbir Tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu dan Kerajaan Terengganu yang dinamakan sebagai defendan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 24 April depan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Advertisements