TH Tergadai Jika CEO SPV Bukan Islam?-Ini Jawab Salkukhairi

Sehari dua ini tular di media sosial, kononnya aset-aset Tabung Haji (TH) yang tidak menguntungkan bernilai RM19.9 billion telah dipindahkan daripada TH kepada sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd, yang buat masa ini diuruskan oleh Prokhas Sdn Bhd.

Dipercayai ketua pegawai eksekutif (CEO) nya adalah seorang yang bukan beragama Islam.

Persoalan yang dibangkitkan adalah bagaimanakah mungkin aset TH yang merupakan sebuah entiti umat Islam diuruskan oleh mereka yang bukan beragama Islam. Sudah tiada kah orang Islam yang boleh dilantik sebagai CEO?

Tergadaikah TH jika CEO SPV adalah bukan Islam? Ini penjelasan peguam hartanah

Ini menggambarkan seolah-olah kerajaan dan menteri yang betangungajawab dalam urusan Agama Islam tidak peka dengan sensitiviti umat Islam dan boleh mendedahkan aset-aset TH dikuasai oleh orang yang bukan beragama Islam.

Apakah benar dakwaan tersebut? Saya akan cuba mengupas dari sudut undang-undang syarikat dan amalan guaman korporat.

Dari segi undang-undang dan amalan guaman tadbir urus korporat yang sebenar, adalah sesuatu yang hampir mustahil TH boleh jatuh ke tangan bukan Islam sungguhpun SPV yang menguruskan aset-aset yang tidak memberi pulangan keuntungan kepada TH itu diuruskan oleh syarikat yang diketuai oleh seorang CEO bukan Islam.

Kenapa saya katakan demikian?

 Pertamanya, perlu difahami, sesebuah syarikat sendirian berhad itu mempunyai entiti terpisah (separate entity) dengan ahli lembaga pengarah mahupun CEO nya. Syarikat itu sendiri boleh berdiri dengan sendirinya tanpa terikat dengan liabiliti yang dipegang oleh ahli lembaga pengarah mahupun CEO nya. Maka justeru itu tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana apa-apa terjadi kepada ahli lembaga pengarah mahupun CEO nya tidak akan memberi apa-apa kesanpun kepada SPV tersebut.

 Keduanya, sungguhpun sesebuah SPV yang ditubuhkan di bawah sesuatu kementerian itu ditadbir oleh ahli lembaga pengarah yang diketuai oleh seorang CEO, dalam apa jua keputusan, ahli lembaga pengarah mahupun CEO tidak boleh membuat sebarang keputusan atas kapasiti peribadi mereka sendiri, sebaliknya mereka terikat dengan polisi, agenda dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan selaku “pemegang saham” terbesar dalam SPV tersebut. Ini bukan “syarikat anak beranak” yang mana pemegang saham dan ahli lembaga pengarahnya adalah individu yang sama yang sesuka hati boleh buat apa sahaja yang mereka hendak demi mengejar keuntungan semata-mata.

 Ketiganya, sesebuah syarikat itu termasuklah SPV ini adalah tertakluk kepada Memorandum & Article of Association (M&A) yang menjadi “perlembagaan” bagi sesebuah syarikat tersebut. Kegagalan mematuhi M&A ini boleh menyebabkan mereka dinyah daftarkan.

Dalam kes SPV TH ini, fungsi mereka adalah tidak lain dan tidak bukan sebagai entiti yang menguruskan aset-aset tidak untung yang dimiliki oleh TH selama ini dengan berbalaskan pegangan instrumen pelaburan Sukuk dan saham keutamaan boleh tebus – Islamik (RCPS-I) untuk dimiliki oleh TH, memandangkan tiada pihak yang berminat untuk berurusniaga dengan aset-aset tidak untung tersebut.

Maka adalah mustahil sebuah SPV yang diketuai oleh bukan Islam mempunyai kuasa yang begitu besar sehingga boleh melangkaui M&A mereka dan mampu “merampas” semua kepentingan kerajaan di dalam TH itu sendiri.

 Keempatnya, perlu difahami setiap ahli lembaga pengarah yang dilantik dalam sesebuah SPV itu terikat dengan Garis Panduan Lantikan Ahli Lembaga Pengarah Kementerian Kewangan (Diperbadankan).

Melalui garis panduan tersebut mereka terikat untuk mepastikan supaya pengurusan syarikat ditadbir dan di kawalselia berdasarkan prisip akauntibiliti kepada parlimen dan rakyat, memastikan tadbir urus dan kawalan bagi mengelakkan berlakunya salah guna kuasa dalam pengurusan syarikat, memastikan pengurusan syarikat mewujudkan polisi dan Standard Operating Procedures (SOP) bagi memantapkan tadbir urus syarikat danLembaga Pengarah perlu merujuk kepada kementerian yang berkenaan bagi perkara-perkara yang memerlukan kelulusan pemegang saham seperti mana yang digariskan di bawah Akta Syarikat 1965, M&A syarikat dan perkara-perkara yang melibatkan dasar kerajaan.

Justeru itu berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, amat retorik kalau hendak kita katakan dengan hanya disebabkan SPV yang mengambil alih aset-aset tidak untung TH ini diketuai oleh orang bukan Islam, maka kita terus membuat konklusi yang TH akan dikuasai oleh orang bukan Islam.

Sepatutnya kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berkepakaran dalam sesuatu bidang tanpa mengambil kira faktor kaum mahupun agama atau kecenderungan politik mereka untuk sama-sama menyumbangkan tenaga dan kepakaran mereka dalam membantu memulihkan kembali sesebuah institusi milik umat Islam yang hampir rosak oleh pemimpin-pemimpin korup yang menguruskannya suatu masa dahulu.

Bukannya hanya memomokkan dengan sentimen perkauman sempit yang tidak ada asasnya, semata-mata demi mengejar kepentingan dan survival politik segelintir pihak.

Mudah mudahan TH akan terus maju dan berdaya saing demi memberi pulangan terbaik untuk pendepositnya mahupun kepada rakyat. Kepada Allah jualah kita berdoa agar semua urusan menyelamatkan TH ini berjalan lancar. Insya Allah.

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Peguambela & Peguamcara,
Pengerusi Gabungan Peguam Hartanah Rakyat (GEMPHAR)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s