Apabila Najib Menggulung Tabung Haji.

Semenjak zaman BN (yang ni kena tekankan sikit, maklumlah ada yang kata kita ni mahacai nanti), saya konsisten menyebut bahawa TH tidak wajar dijadikan tempat pelaburan oleh sebahagian pihak (tanpa kita menafikan fakta bahawa sebahagian yang lain juga MENYIMPAN untuk tujuan PERGI HAJI).

Seorang financial planner pernah memarahi saya (bukan di medium FB) selepas saya menyatakan fakta ini.

Namun mengapa ramai orang tetap melabur dan dinasihatkan melabur di TH?

Imej mungkin mengandungi: 2 orang

Berdasarkan pemerhatian saya, sekurang-kurangnya ada 2 sebab:

  1. Hibah yang tinggi dan stabil berbanding mana-mana instrumen pelaburan (sebenar) yang lain. Mengikut rekod, tidak pernah hibah diisytiharkan rendah daripada 5%/tahun (betulkan jika tersilap). Bahkan menurut seorang sahabat, semenjak pulangan unit amanah (unit trust) tidak memberangsangkan, sebahagian pelabur telah menukar pelaburan mereka ke TH.
  2. Kerana ia mudah dicairkan (dikeluarkan semula – bahasa mudah) berbanding jika dilaburkan ke dalam pelaburan yang sebenar.

Jika kita lihat keadaan semasa, terdapat beberapa gesaan agar masyarakat mengeluarkan deposit mereka daripada TH dan hanya meninggalkan nilai minimum yang melayakkan mereka untuk pergi haji, dan bakinya dilaburkan ke tempat lain sekiranya tiada hibah atau hibah rendah berbanding tahun-tahun lalu.

Ulasa saya:

  1. Ini adalah gesaan yang bagus untuk mengembalikan tugas utama TH.
  2. Ini juga menggambarkan si penggesa sebenarnya memilih TH sebagai tempat pelaburan pada asalnya berbanding memastikan mereka dapat menunaikan ibadah haji.

Persoalan hibah

Pertamanya, perlu difahami bahawa hibah merupakan pemberian kasih sayang suatu pihak kepada pihak yang lain tanpa mengharapkan sebarang pulangan.

Hibah ni macam seorang ayah beri hadiah kepada anaknya. Bila ayah nak bagi, ayah akan bagi. Bila dia tak mahu bagi, dia tak perlu bagi. Kalau anak paksa? Keputusan untuk memberi tetap tertakluk kepada ayah tersebut.

Dalam konteks institusi, TH bukanlah satu-satunya institusi yang memberikan hibah. Sebenarnya, wang yang kita simpan di dalam akaun simpanan bank kita juga diberikan hibah sama ada kita sedar atau tidak. Cuma cara kiraannya MUNGKIN ada sedikit perbezaan berbanding TH.

Tapi, mengapa kita lebih menuntut hibah TH tetapi buat tak tahu tentang hibah deposit?

Telahan saya, kerana nilai hibah itu sendiri.

Seperti yang dinyatakan di atas, rekod menunjukkan (betulkan jika salah), TH tidak pernah gagal mengisytiharkan hibah kurang daripada 5% setiap tahun. Nilai ini lebih tinggi berbanding daripada mana-mana nilai pulangan yang diletakkan di dalam akaun tetap (fix deposit) di bank-bank islam.

Keduanya, perlu difahami asal hubungan antara pendeposit dengan TH.

Semasa kita meletakkan wang ke dalam TH, kita hanya berakad secara wadiah (simpanan), bukan pelaburan i.e. Mudarabah, musyarakah, wakalah istithmar etc.

Simpanan kita ini seterusnya akan menjadi liabiliti (tanggungan) kepada TH di dalam akaun mereka, kerana hakikatnya ia bukan duit TH, tetapi “pinjaman” daripada depositor yang boleh ditarik (dituntut) dan “dipulangkan” oleh TH pada bila-bila masa.

Nota: Bank-bank Islam di Malaysia sendiri telah menukar konsep simpanan mereka daripada wadiah kepada qard.

Dalam keadaan ini, syara’ tidak membenarkan sebarang jaminan pulangan (keuntungan) kepada depositor, selerasa dengan kaedah

كل قرض جار نفعا فهو ربا
(setiap hutang yang memberikan manfaat adalah riba)

Justeru bagaimana?

Jika hendak memberikan pulangan, maka akad antara depositor & TH perlu ditukar kepada pelaburan. Risiko akad ini pula adalah wang modal (simpanan) depositor tidak boleh dijamin oleh TH, akhirnya menyebabkan tujuan simpanan itu sendiri terbantut.

Mungkin di sini lah idea wadiah+hibah ini diasaskan sebagaimana institusi perbankan islam suatu masa dahulu.

Walaubagaimana pun, pemberian hibah yang tinggi secara konsisten oleh TH mungkin telah “memerangkap” TH sendiri.

Walaupun Akta TH telah menyebut bahawa hibah tidak boleh diberikan apabila liabiliti melebihi aset, faktanya TH sendiri telah dikawal oleh orang politik sendiri. Mengambil keputusan tidak popular pula mungkin akan memakan diri & karier politik sendiri.

Justeru di sinilah datangnya masalah yang lain.

Jika ditanya saya, secara peribadi saya tidak pernah kisah jika hibah itu ada atau tidak. Apa yang penting, saya terus menyimpan sehingga wang saya saya mencukupi untuk menunaikan ibadah haji.

Hal ini sangat berkait dengan konsep istitō’ah yabg pernah saya bangkitkan sebelum ini.

Sekiranya saya inginkan wang untuk masa depan, maka saya akan melabur di tempat lain. Itu lebih menepati maqasid pelaburan yang bersifat untung-rugi.

Ini ialah pandangan penulis dan bukannya menggambarkan pendapat Melaka Insider