PRU14: Walaupun tanpa niat, pemimpin Pas bunuh rakan baru

Seorang teman baik saya melahirkan rasa hairan dan takjub melihat kerjasama Pas-Umno nampak berjalan dengan begitu akrab dan lancar sekali.

“Seolah-olah bagai pasangan kekasih yang lama terpisah dan kini bertemu kembali. Cinta mudah bertaut semula,” katanya sambil menambah hubungan Pas-Umno pastinya tidak bermula hanya selepas PRU14 yang menyaksikan kerajaan BN diterajui Umno tumbang.

Malah, menurut pemerhatian saya pula, detik awal hubungan Pas-Umno terjalin sepuluh tahun lalu, sejurus keputusan PRU2008 diumumkan. Namun inisiatif untuk membentuk kerajaan perpaduan Melayu-Islam di Selangor dan Perak tidak kesampaian. Meskipun percubaan pertama oleh segelintir pemimpin tertinggi kedua-dua parti itu gagal, namun ia tidak terhenti begitu sahaja. Tunas sudah berputik.

Pengunduran Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri pada 2009 mulanya dilihat menutup peluang Pas-Umno berbaik-baik. Rupanya tidak. Survival Umno yang kelihatan meruncing ekoran tsunami pada PRU12 mendorong strategis parti itu merencanakan pendekatan halus untuk memecahbelahkan saingan utama, Pas, dan serentak itu menyuntik kecurigaan ke dalam gabungan pembangkang, Pakatan Rakyat. Sasaran utama adalah merongkai hubungan rapuh Pas-DAP.

Dalam PRU2008, buat pertama kali majoriti dua pertiga BN di Parlimen dinafikan. Lima negeri, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak dikuasai Pakatanp Rakyat, selain mengekalkan Kelantan sejak 1990, dan menang majoriti kerusi Dewan Rakyat di Wilayah Persekutuan. Pengundi mula diyakinkan bahawa tidak mustahil regim Umno-BN boleh ditumbangkan.

Berdepan PRU13, meskipun dilanda pelbagai cabaran, Pakatan Rakyat kekal utuh. Isu- isu berkaitan survival dan kepentingan Melayu-Islam mulai timbul. Walaupun BN mampu bertahan dan dapat merampas Kedah dan Perak, namun bilangan kerusi Parlimennya semakin merosot. Undi popular BN juga jatuh di paras bawah 50 peratus. Dari segi populariti, Pakatan Rakyat sudah mengatasi. Tinggal setapak lagi untuk ke Putrajaya.

Pada Februari 2015. Dua peristiwa besar melanda barisan pembangkang. Kematian Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Pas, tokoh paling dihormati kawan dan lawan, juga dikenali sikapnya yang tegas terhadap Umno. Sehingga seorang bekas pemimpin Pas pernah mengungkapkan, “selagi Nik Aziz masih hidup, jangan harap hubungan dengan Umno dapat dijalin”. Sementara itu, Mahkamah Persekutuan pula mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar Ibrahim, tokoh pemersatu oposisi. Beliau hilang kelayakan ahli Parlimen dan dihantar ke penjara Sungai Buloh.

Tahun 2015 juga menyaksikan pelbagai tragedi yang mencabar kesatuan pembangkang. Antaranya, polemik usul Rang Undang-Undang 355 untuk memperkuasa Mahkamah Syariah dan kemuncak krisis perlantikan Menteri Besar Selangor yang bermula pada 2014. Pemilihan kepemimpinan Pas pada Jun 2015, di Kuala Selangor telah membahagikan parti Islam itu serta melorongkan penubuhan Parti Amanah Negara. Muktamar itu juga mengesahkan hubungan Pas-DAP terputus. RUU355 dijaja sebagai usaha suci Pas memartabatkan undang-undang Hudud. Pelbagai label jelik dihamburkan kepada mereka yang mempersoal RUU355, termasuk “ditanam di jirat Cina jika meninggal dunia”.

Ketika itu, saya di hujung perkhidmatan dengan Harakah ekoran keuzuran semakin serius. Sempat juga saya merasai pergolakan teruk dalam Pas. Pendekatan yang dianggap lunak terhadap Umno dan kepimpinan Najib Razak yang dipalit pelbagai skandal menimbulkan protes terbuka. Bagaimanapun, Pas menafikan tuduhan berbaik- baik dengan Umno itu dan menganggapnya fitnah jahat. Golongan yang tidak bersedia untuk “walak sepenuhnya” digelar “munafik haraki”, “jebon”, “parasit”, “Anwarinas” dan pelbagai jolokan negatif yang boleh dikaitkan dengan “pengkhianat” dan ” antiulamak”.

Melihat dan membaca gerak politik sebahagian pemimpin tertinggi Pas, terutama dari kalangan ulamak, termasuk kenyataan presidennya, Ustaz Abdul Hadi Awang di Alor Limbat, Terengganu, tentang pembahagian lima negeri untuk Pas dan menyerahkan bakinya kepada Umno, saya yakin Pas bukan lagi sekutu pembangkang, malah beraksi seperti komponen tidak rasmi BN.

Menjelang PRU14 yang kritikal itu, sikap politik Pas semakin pelik. Ada-ada sahaja kritikan, sama ada secara lantang mahupun sindiran, terhadap parti pembangkang lain. Namun kepada Umno-Najib, serangan tidak dihalakan lagi. Pas cuba beraksi sebagai blok ketiga, atas cita-cita menjadi king maker, namun saya tetap percaya ia sudah menjadi sekutu atau mesra Umno. Pas semakin nampak janggal atau tidak serasi bersama pembangkang.

Tersebar khabar angin Pas mendapat bantuan dana daripada Umno. Terdapat bukti salinan transaksi bank atas nama beberapa pemimpin Pas Terengganu dan akaun pilihan raya parti itu di peringkat pusat. Sudah pasti Pas menyangkal keras. Ada ancaman untuknya mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang pemimpin AMANAH yang mendedahkannya, tetapi akhirnya senyap begitu sahaja.

Pemimpin dan ahli-ahli Pas menyanggah habis-habisan tuduhan bahawa parti itu bekerjasama dengan Umno dalam PRU14. Hujah mereka, Pas akan bertanding di mana sahaja calon Umno menawar diri. Tentu tidak masuk akal Pas yang berlawan dengan Umno boleh mendapat bantuan wang daripada seteru ketatnya itu. Daleh Pas itu nampaknya diterima umum. Dan tuduhan pun reda. Hasilnya, Pas meletakkan calon paling ramai dalam sejarah, sekitar 160 di peringkat Parlimen, iaitu melebihi bilangan dua pertiga!

Sarawak Report turut membangkitkan Pas menerima dana RM90 juta daripada Umno. Kes itu dibawa ke mahkamah London; petanda Pas serius menolak fitnah. Ahli-ahlinya tetap setia dan walak kepada pemimpin, terutama presiden, Ustaz Hadi. Derma dikumpulkan bagi membiayai kos mahkamah yang tinggi. Pada satu ketika digambarkan Pas telah memenangi kes itu.

Malam 9 Mei 2018, kejutan besar dicatatkan. Sejarah gemilang Malaysia terakam indah. Regim 61 tahun tumbang. Begitupun Pas dapat menawan Terengganu dan pertahan Kelantan, dengan jumlah undi yang besar. Pencapaiannya di Kedah dan Pahang juga agak luar biasa. Malah, analisis terhadap keputusan PRU14 menunjukkan, jika dicampur undi calon-calon Parlimen Pas dan BN, hampir 30 kerusi yang dimenangi PH boleh direbut. Ini bermakna kerajaan BN mampu bertahan di Putrajaya jika Pas dan BN berpakat. Di Kedah, gabungan Pas-BN mampu menang 30 daripada 36 kerusi Dun dan menyapu bersih kerusi Parlimen, kecuali satu, di Langkawi.

Kerjasama Umno-Pas

Cerita kerjasama strategik Umno-Pas dalam PRU14 senyap seketika. Tumpuan lebih tertumpu dengan gandingan baharu yang dibentuk rasmi menjelang PRK Cameron Highlands.

Menjelang setahun PRU14, di Kompleks Pas Kedah, 27 April lalu, Najib mendedahkan bahawa ‘penyatuan’ Pas-Umno adalah hasil dari “usaha senyap-senyap” olehnya dan Ustaz Hadi. Jelas Najib, usaha itu bermula ketika perbincangan isu RUU355 ketika beliau masih menjadi presiden Umno dan juga perdana menteri.

“Sebab saya telah usahakan senyap-senyap perkara ini, selama ini dengan Tok Guru Hadi waktu malam dia datang bincang RUU355 dan perkara-perakra bersangkut paut kepentingan umat Islam. Hari ini saya rasa begitu bersyukur apa saya telah mulakan, berputik zaman saya, hari ini telah menjadi realiti,” tambah Najib.

Image result for AHMAD LUTFI OTHMAN

Bekas Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman bersama Ustaz Haron Din suatu ketika dahulu

Terbukti sudah, jalinan mesra Pas-Umno yang disyaki banyak pihak itu, khususnya “golongan profesional” yang dusingkirkan, telah lama berlangsung. Pertandingan tiga penjuru pada PRU14, di antara Pas-BN-PH hanya satu strategi untuk memudahkan BN kekal betkuasa, dan memecahkan undi pembangkang, selain mengelak “pemberontakan” dalam Pas. Waktu itu, majoriti ahli Pas menolak sebarang kerjasama dengan Umno.

Sebelum pendedahan Najib itu, awal Februari lalu, semasa dialog di Wisma Umno Langkawi, bekas presiden Umno itu juga memberitahu, strategi pertandingan tiga penjuru itu telah menyebabkan kerajaan BN tumbang. Dia mengakui strategi itu berdasarkan perkiraan awal yang salah merujuk keputusan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Dalam dua PRK tersebut, calon-calon BN menang mudah. Waktu itu, faktor Mahathir dan parti Bersatu belum menyerlah lagi.

Namun begitu, saya lebih tertarik dengan ulasan Husam Musa, Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, yang juga bekas Naib Presiden Pas yang dipecat keahlian disebabkan melanggar perlembagaan parti, dipercayai antara lain, kerana menuduh ada kerjasama politik Pas-Umno dan mengkritik kerajaan negeri Kelantan.

Husam dilapor mengucapkan terima kasih kepada Najib di atas pendedahannya di Kompleks Pas Kedah itu. “Susulan strategi berlebihan Pas itu menyaksikan Pas sendiri bertanggungjawab membunuh kerajaan BN.

“Ini sangat penting kerana Pas sebenarnya mematikan kedudukan Umno sebagai kerajaan. Kalau ada pihak kata kehilangan kepimpinan Melayu, ketuanan Melayu, membunuh kerajaan Melayu-Umno, parti yang bertanggungjawab adalah Pas,” ulasnya.

Kata Husam, demi menunjukkan Pas tiada kerjasama dengan Umno maka pada PRU14 pertandingan tiga penjuru berlaku namun Pas mengambil tindakan ‘overdose’ (berlebihan).

“Pertandingan tiga penjuru itu juga strategi kerjasama, cuma Pas dan Umno tidak bernasib baik kerana strategi itu dilakukan secara ‘overdose’ daripada sewajarnya iaitu Pas meletakkan calon tiga penjuru di tempat yang menjadikan undi Umno pecah,” tambah Husam.

Bagi saya, tiada isu besar kerjasama Pas-Umno pasca PRU14 — masing-masing berstatus pembangkang — meskipun terdapat banyak persoalan berkaitan faktor Najib dan pemimpin Umno yang tercemar dengan dakwaan korupsi serta salahguna kuasa.

Namun rekod menunjukkan hubungan intim kedua-dua parti itu, khususnya membabitkan pemimpin tertingginya, sudah bermula menjelang PRU14 lagi. Dan ia dibuat secara senyap-senyap tanpa memaklumkan kepada parti dan ahli.

Bagaimanapun, ia menjadi strategi yang salah dan makan tuan. Akhirnya, bertukar kepada tragedi, “kawan bunuh kawan” walaupun tanpa niat! Tujuan asal pertandingan tiga penjuru untuk memudahkan BN menang PRU14 tetapi yang berlaku riwayatnya sebagai penguasa yang diwarisi sejak enam dasawarsa lalu, berakhir. Ada berpendapat, ia mungkin satu bentuk hukuman di atas pengkhianatan pemimpin tertinggi Pas terhadap perjuangan asal parti itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s