AmBank Pernah Dikenakan Tindakan Gagal Lapor Aktiviti Akaun Najib

KUALA LUMPUR: AmBank pernah dikenakan tindakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kerana gagal membuat laporan berkaitan aktiviti akaun meragukan milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pengurus Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan BNM, Ahmad Farhan Sharifuddin, berkata kesalahan gagal membuat laporan kepada bank pusat itu adalah mengikut Seksyen 14 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFA) 2001.

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui di Mahkamah Kuala Lumpur. – Foto Zunnur Al Shafiq

Saksi keempat pendakwaan itu yang menjawab soalan peguam bela Harvinderjit Singh pada sesi soal balas, berkata kesalahan lain AmBank berkaitan akaun Najib ialah mengikut Akta BNM susulan serbuan terhadap AmBank cawangan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Harvinderjit: Dalam siasatan anda, adakah bank itu didenda?

Ahmad Farhan: Ya, …kerana gagal mengemukakan Laporan Transaksi Meragukan (STR) ke atas akaun Najib.

Harvinderjit: Denda itu untuk urus niaga apa?

Ahmad Farhan: Saya tidak dapat menyatakan secara spesifik (khusus) urus niaga berkenaan.

Harvinderjit: Adakah bagi urus niaga sebelum atau selepas 2013?

Ahmad Farhan: Bagi semua transaksi membabitkan pembukaan hingga penutupan akaun.

Sementara itu, prosiding soal balas itu bertukar tegang seketika apabila Ahmad Farhan bertikam lidah dengan Harvinderjit berkaitan siasatan yang dijalankan saksi terhadap akaun berkenaan.

Ia bermula apabila Harvinderjit menyoal saksi sama ada beliau yang bertugas di bawah Jabatan Perisikan dan Penguatkuasaan boleh melakukan pemeriksaan atau menemubual Najib berkaitan akaun itu.

Menjawab soalan itu, saksi berkata, beliau tidak boleh berbuat demikian kerana hanya mempunyai kuasa untuk menganalisa dan menyiasat akaun sahaja.

Saksi kemudian diasak lagi apabila peguam merujuk kepada Seksyen 14 dan 20 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) berhubung kuasa pemeriksaan dan penyiasatan BNM untuk menemubual Najib.

Dengan merujuk kepada peruntukan itu, Harvinderjit berkata, ia adalah sama dengan kuasa Ahmad Farhan untuk menemubual Najib.

Soalan itu spontan dijawab oleh Ahmad Farhan; “Wahai peguam yang bijaksana, kita bercakap mengenai pemeriksaan dan bukan penyiasatan.

“Pemeriksaan dan penyiasatan adalah dua perkara yang berbeza,” katanya.

Jawapan saksi menyebabkan semua orang dalam mahkamah ketawa.

Sementara itu, Ahmad Farhan berkata, Najib tidak pernah dimaklumkan mengenai transaksi meragukan dalam akaun bank miliknya oleh BNM.

Ahmad Farhan yang kemudian disoal peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sesi soal balas, berkata ia adalah kerana terdapat peruntukan dalam AMLATFA yang tidak membenarkan sebarang amaran mengenai transaksi yang mencurigakan dimaklumkan kepada pemilik akaun.

Saksi itu menjelaskan, tindakan memaklumkan kepada pelanggan mengenai akaun mereka juga dikira sebagai membocorkan maklumat.

“Sepanjang pengetahuan saya, Bank Negara atau AmBank cawangan Raja Chulan tidak pernah berbuat demikian (memaklumkan mengenai akaun itu kepada Najib).

“Terdapat peruntukan undang-undang yang jelas menyatakan bahawa bank tidak perlu memaklumkan kepada pemilik, sekiranya akaun mereka disiasat oleh institusi kewangan,” katanya.

Sementara itu, saksi ke-31 pendakwaan, Penolong Pengurus Maybank Cawangan Kuala Lumpur, Halijah Abdul Wahab, 46, dalam keterangannya berkata, wang berjumlah RM170 juta dipindahkan daripada akaun dua buah syarikat pembinaan ke dalam akaun SRC.

Dua syarikat berkenaan adalah Permai Binaraya Sdn Bhd iaitu anak Syarikat Putra Perdana Development Sdn Bhd (PPD) dan Putra Perdana Constructions Sdn Bhd iaitu anak syarikat Putrajaya Perdana Berhad.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Sulaiman Kho Kheng Fuei pada sesi pemeriksaan utama, Halijah berkata, daripada jumlah itu, RM140 juta dipindahkan daripada akaun Putra Perdana Construction ke dalam akaun SRC pada 12 Disember 2014.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s