Menantu Hadi ‘dedah rahsia kartel dedak’

Selepas sekian lama mendiamkan diri walaupun namanya dikaitkan secara langsung, akhirnya Zaharudin Muhammad bersuara mengenai kisah di sebalik tularnya audio Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Menariknya sekali Zaharudin bersuara, beliau melakukannya secara agak intensif.

Sejak komen dibuat pada 7 Mei lalu sudah ada sekurang-kurangnya lapan hantaran dimuat naik menantu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, itu berkaitan insiden yang turut dikenang dengan gelaran “Ana tahu” itu.

Lebih menarik Zaharudin menggelarkan kumpulan yang bertentangan dengannya itu sebagai “kartel dedak” merujuk kepada dana yang diterima pihak tertentu daripada Umno atau orang berkaitan Umno.

Dalam hantaran di media sosialnya Zaharudin bagaimanapun berkata apa yang ditulisnya itu bertujuan untuk menghindarkan fitnah yang sedang menjalar, bukan mengejutkan fitnah yang sedang tidur.

Zaharudin juga membayangkan beliau bersedia menunjukkan lebih banyak bukti berkaitan isu berkenaan sekali gus menafikan pengakuan dibuat Nik Abduh sebelum ini.

“[…] rakaman itu dimainkan untuk membuktikan bahawa perbuatan mendedak itu adalah perbuatan kepimpinan tertinggi parti (Padahal sebenarnya tidak dan saya akan coretkan nanti bukti-bukti tindakan mendedak ini tidak direstui oleh kepimpinan tertinggi),” tulisnya.

Komander lawan jebon

Isu rakaman audio itu pada asalnya dikaitkan secara berhati-hati dengan Nik Abduh. Anggota parlimen Bachok itu bagaimanapun menafikan suara itu adalah miliknya.

Bagaimanapun pada 12 Feb lalu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan suara dalam rakaman itu memang anak bekas menteri besar Kelantan itu.

Nik Abduh kemudian membela diri dengan mendakwa penafian yang dibuatnya sebelum ini mendapat restu daripada Abdul Hadi.

Dalam hantarannya Zaharuddin menegaskan beliau bukanlah dalang yang merakam suara Nik Abduh dalam pertemuan tidak dirancang beberapa tahun lalu itu.

Dalam siri hantaran itu juga Zaharudin mengakui belau adalah “komander” kepada pasukan yang berusaha menyingkirkan “jebon” selama hampir 10 tahun iaitu sejak 2006.

Jebon ialah istilah yang ditujukan kepada sekumpulan pimpinan PAS yang berfahaman sederhana yang kemudian disingkirkan pada 2015. Mereka kemudian menubuhkan Amanah dan kini menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat.

Zaharudin berkata jika beliau adalah dalang di sebalik rakaman itu pasti lebih banyak pendedahan akan dilakukannya.

“Apabila saya coretkan sedikit saja (mungkin baru 1 peratus), ramai dah meroyan atas alasan pecah rahsia jemaah.

“Saya nak tegaskan bahawa yang saya coretkan tu bukan rahsia jemaah dan parti sebab itu bukan keputusan PAS dan parti serta kepimpinan tertinggi.

“Yang saya dedahkan tu ialah rahsia kartel dedak. Harap biar dapat bezakan dengan jelas,” tulisnya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s