Tabung Haji Kurangkan Pelaburan Ekuti Untuk Pulih Prestasi

Lembaga Tabung Haji (TH) mengurangkan pelaburan ekuiti kepada 20 peratus berbanding 50 peratus sebelum ini dalam usaha memulihkan prestasi badan pengurusan kewangan jemaah haji itu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zukri Samat, berkata TH membuat sedikit perubahan dari segi peruntukan aset dengan mengurangkan pegangan ekuiti.

Beliau memaklumkan pada tahun 2017 dan 2018, TH banyak menumpukan kepada pelaburan ekuiti sehinggakan mencecah 50 peratus.

“Justeru, pada tahun ini kita akan kurangkan pelaburan di dalam ekuiti dan akan beri penekanan kepada sektor lain.

“Jadi berdasarkan kepada peruntukan aset lain yang telah kita cadang dan rancangkan, kita yakin untuk memberi pulangan yang agak baik kepada TH walaupun ekonomi dunia yang agak mencabar sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Khatam Al-Quran dan TH World #QuranHour yang disertai lebih 1,000 kakitangan TH dan anak syarikatnya, di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, TH turut merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM440 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019.

Ia turut merekodkan pendapatan berjumlah RM623 juta bagi tempoh berkenaan dan jumlah asetnya juga melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM1.2 bilion.

Bagaimanapun kata Zukri, penjualan ekuiti yang dipegang TH akan dilakukan bergantung kepada pasaran semasa bagi mengelak kerugian.

“Kita tidak akan menjual ekuiti dalam keadaan rugi. Kita akan melakukannya secara perlahan-lahan dan untuk jangka pertengahan kita mahu kurangkan kepada 20 peratus,” katanya.

Sementara itu, Zukri (gambar) optimis TH mampu memberi pulangan hibah yang lebih baik untuk tahun ini berbanding kadar 1.25 peratus yang diberikan kepada pendepositnya pada tahun lalu berdasarkan prestasi semasa suku pertama yang memberangsangkan.

Katanya, pendapatan TH dijangka terus meningkat mulai suku kedua dengan penerbitan sukuk oleh syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang akan memberi pulangan hampir RM800 juta setahun.

Ia dijangka akan diterbitkan sebelum akhir bulan ini.

“(Jumlah Hibah) akan lebih daripada 1.25 peratus, berapa jumlahnya terlalu awal untuk saya katakan.

“Sebab kita baru berada di bulan Mei dan untuk saya katakan apa yang akan berlaku pada 12 bulan akan datang agak rumit tetapi cukup untuk sekadar saya katakan ia akan lebih baik dari 1.25 peratus,” katanya.

Pada 5 April lalu, kerajaan mengumumkan TH memberikan hibah sebanyak 1.25 peratus, yang terendah dalam sejarah, membabitkan agihan sebanyak RM913 juta untuk 2018 untuk pendepositnya.

Tahun lalu, TH mengumumkan hibah 4.5 peratus kepada pendeposit, dan tambahan hibah haji 1.75 peratus untuk penyimpan yang belum menunaikan haji bagi 2017.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s