Hanya di Kelantan sampah membukit di depan masjid?

Tular di media sosial gambar longgokan sampah di tepi jalan berdekatan pintu masuk utama Masjid Mukim Pendek di Kota Bharu, Kelantan iaitu kira-kira 10 kilometer dari Pasar Siti Khadijah.

Rata-rata warganet mempersoal percanggahan situasi itu dengan identiti Kelantan yang dikenali sebagai negeri Serambi Mekah.

Ada juga komentar yang mengatakan bahawa sampah yang membukit di susur keluar Cabang Tiga Pendek itu berlaku kerana musim perayaan Aidilfitri.

Bagaimanapun, alasan tersebut dibidas warganet lain memandangkan bukan rakyat Kelantan sahaja menyambut Hari Raya.

Bahkan, ada saranan agar rakyat Kelantan mencontohi Melaka yang dilihat banyak pihak paling bersih daripada aspek pengurusan sampah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hingga sikap masyarakat sendiri seperti dicerminkan melalui kawasan kampung dan taman perumahan di negeri Hang Tuah itu yang umumnya bebas longgokan sampah.

Berdasarkan foto yang tular itu, didapati satu unit tong sampah sedia ada dilihat tidak mampu menampung kira-kira empat muatan limpahan plastik sampah.

Masalah sampah berlebihan yang ketara di negeri diterajui pentadbiran Pas sejak 29 tahun itu sudah lama diperkatakan.

Berbanding ibu negeri lain, walaupun Kota Bharu terkenal dengan imejnya sebagai sebuah bandar raya Islam tetapi isu kebersihan dilihat masih gagal ditangani.

Malah, pada 2016 misalnya, sudah tular di media sosial foto sisa sampah yang dibuang di tepi laluan utama Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu.

Mengulas isu tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood ketika itu, meminta orang ramai untuk mematuhi peraturan dan menjaga kebersihan di laluan utama masuk ke negeri berkenaan.

Sementara itu, dalam satu wawancara di Utusan Malaysia yang disiar pada 30 Ogos 2016, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Zamri Ismail secara terbuka mengakui kegagalan pihaknya memberikan perkhidmatan yang terbaik disamping sikap pengotor penduduk bandar.

“Daripada segi pungutan sampah, kita masih kekurangan lori untuk mengutip sampah di seluruh kawasan. Kita memerlukan masa ekoran daripada kekangan tersebut,” ujarnya.

Zamri juga memberitahu sebanyak 360 tan metrik sampah dikutip setiap hari dan sebulan MPKB-BRI mengutip sebanyak 10,800 tan metrik sampah.

“Malah, menjelang Hari Raya Aidilfitri lalu (tahun 2016), kita mengutip lebih 1,000 tan metrik sampah. Jumlah tersebut cukup banyak,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, penganalisis politik, Mohd Sayuti Omar dalam catatan blog pada 1 Julai 2017 turut mengakui kewujudan sampah di segenap ceruk di Kelantan.

Penulis buku prolifik yang banyak menekuni isu politik di Kelantan itu berpendapat isu sampah bukan sahaja kerana kelemahan pihak kerajaan negeri dalam menguruskan sampah-sarap.

“Ada faktor lain yang nampaknya kurang diberi perhatian, bahkan dialpakan oleh pengkritik sampah, yakni tabiat orang Kelantan yang sudah jadi sebahagian budaya suka membuang sampah di mana-mana sahaja,” jelasnya.

Pada Jun 2017 juga tular foto Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan berswafoto berlatar belakangkan longgokan sampah dengan menyarankan Unit Amal Pas meneruskan kerja-kerja mengutip sampah dengan pihaknya bersedia untuk bersama.

Hazmi juga mendesak Abdul Fattah meletak jawatan kerana dianggap gagal mengurangkan masalah sampah terutama di bandar Kota Bharu.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s