Isu penyebaran video lucah: Mufti Wilayah Persekutuan beri empat ‘panduan’

KUALA LUMPUR: Penyebaran video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri dan seorang lelaki lain turut mendapat reaksi Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau yang mengakui berasa gusar dengan perkembangan yang boleh mendatangkan masalah kepada umat Islam di negara ini ekoran penyebaran video berkenaan, membentangkan empat panduan kepada umat Islam dalam berdepan isu berkenaan.

Katanya, panduan itu yang turut disifatkan sebagai tanggungjawabnya sebagai Mufti Wilayah Persekutuan dihuraikan menerusi empat artikel bertajuk ‘Peristiwa al-Ifki (Fitnah Terhadap A’isyah RA): Pengajaran Menghadapi Fitnah Semasa’, ‘Bahaya Fitnah’, ‘Isu Qazaf: Adakah Termasuk Tuduhan Liwat?’ dan ‘Tabayyun Dalam Penerimaan dan Penyampaian Berita’.

“Oleh kerana merasakan perlunya satu panduan yang tuntas kepada umat Islam di Malaysia, saya meluangkan sedikit masa untuk membuat kajian dan menyiapkan empat buah artikel Bayan Linnas berhubung isu ini petang tadi.

“Kepada YB Dato’ Seri Azmin Ali, Haziq Abdul Aziz, sesiapa sahaja yang berkaitan dan seluruh umat Islam di Malaysia, terimalah buah fikiran daripada saya, Zulkifi Mohamad al-Bakri, hamba-Nya yang Maha Mengetahui (al-’Alim), Maha Melihat (al-Basir), Maha Mendengar (al-Muntaqim) dan Maha Adil (al-Adl),” katanya menerusi laman Facebook miliknya, malam tadi.

Beliau turut mencadangkan umat Islam di negara ini supaya sentiasa bermuhasabah dengan mengingati Allah SWT kerana setiap perbuatan pasti akan dihitung satu persatu oleh Ilahi.

“Bersempena dengan bulan Syawal yang mulia ini, marilah sama-sama kita bermaaf-maafan dan mencari keredhaan Allah SWT selepas kita disucikan dengan ibadat puasa, zakat fitrah dan qiam pada Ramadhan yang lalu,” katanya.

Keempat-empat artikel yang dimaksudkan oleh beliau boleh dicapai menerusi pautan http://bit.ly/hadithifk, http://bit.ly/bfitnah, http://bit.ly/qazafliwat dan http://bit.ly/tabayyunberita.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dalam sebuah video lucah yang tersebar sejak Selasa dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.

Pada awal pagi semalam juga, seorang individu mendakwa terbabit sama dalam video itu, dilaporkan tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terbabit dalam aksi berkenaan.

Individu itu mendakwa video berkenaan dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.

Dalam perkembangan terkini, Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Hilman Idham, membuat satu laporan Qazaf atau perbuatan melemparkan tuduhan zina di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Putrajaya jam 11.30 pagi tadi.

Ia bagi menggesa siasatan dilakukan pihak JAWI berkaitan penyebaran video lucah yang mengaitkan Mohamed Azmin dengan seorang lelaki.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s