Video lucah, fitnah calar sambutan raya

Oleh Nazmi Yaakub nazmi@bh.com.my

Tujuh hari menjadi tempoh waktu terlalu pendek untuk menilai sejauh mana amal ibadat digandakan dan akhlak baik diusahakan sepanjang Ramadan lalu sama ada diterima atau menjadi ‘debu berterbangan.’

Malah, dalam tempoh itu juga umat Islam yang memulakan puasa enam pada 2 Syawal boleh menyelesaikan ibadat berkenaan, sekali gus menjadikan mereka seolah-olah berpuasa selama setahun.

Ini menjadikan minggu pertama Syawal sebenarnya masih berada dalam suasana Ramadan hingga keagungan bulan suci itu tetap terasa segar.

Bagaimanapun, rupa-rupanya tujuh hari itu terlalu panjang untuk sebahagian orang Islam melupakan penat lelah berpuasa selama sebulan bermula fajar hingga matahari terbenam serta ibadat yang mengisi malamnya.

Penyebaran video seks yang bermula di media sosial hingga menimbulkan tuduh-menuduh, buruk sangka dan umpat keji sesama umat Islam seolah-olah kita sudah meninggalkan Ramadan selama tujuh bulan.

Memang tiada sesiapa pun boleh menghalang sebarang penyebaran mesej dan bahan sama ada secara bertulis, audio mahupun visual kerana kecanggihan teknologi maklumat membolehkan apa-apa sahaja berlaku.

Malah, kecanggihan itu bukan hanya pada tahap penyebaran, bahkan bertujuan mengada-adakan sesuatu yang tidak benar atau menokok tambah sama ada dalam bentuk teks, audio mahupun video.

Rakaman video ganti empat saksi wajib

Barangkali itulah menjadi hikmah mengapa rakaman video tidak dapat menggantikan kewajipan membawa empat saksi mata dalam kes zina membabitkan hukum had dalam Islam.

Kekejian dan kejahatan yang dicetuskan hawa nafsu manusia tidak mengenal sempadan yang bukan sahaja pasangan berlainan jantina, bahkan tanpa mengira jantina, usia, bilangan, malah haiwan dan benda.

Hawa nafsu itulah yang cuba dikekang dan dikawal melalui penurunan rasul serta nabi termasuk Nabi Muhammad SAW kepada umat akhir zaman yang nampaknya mengulangi setiap satu perbuatan umat terdahulu.

Bagaimana sukar pun kita menghalang daripada penyebaran bahan sebegitu pada era kebebasan maklumat dan kecanggihan teknologi, ia berbalik kepada diri sendiri juga.

Ulama hadis terkemuka, Imam Abu Daud ketika menjawab pertanyaan penduduk Makkah mengenai kitab hadisnya, Sunan Abi Daud, memilih empat hadis penting yang sebenarnya sudah cukup untuk dijadikan pegangan kepada semua orang.

Antara hadis yang disyorkan ialah: “Termasuk kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan apa yang tidak berguna baginya.”

Oleh itu, menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk memastikan setiap perbuatan meskipun berbentuk sentuhan jari atau perkataan walaupun hanya sebaris kata adalah sesuatu yang memberikan manfaat kepadanya di dunia dan akhirat.

Dalam suasana lalu lintas maklumat sama ada benar, palsu atau syubhah, kita tidak boleh menjadi terlalu pantas menyebarkannya tanpa menyelidik terlebih dahulu bukan sahaja mengenai kebenarannya, sebaliknya sama ada ia bermanfaat kepadanya atau mendatangkan mudarat.

Justeru, dalam seminggu meninggalkan Ramadan, apakah kita sanggup menggadaikan usaha selama sebulan itu dengan bukan sahaja menyebarkan bahan yang tidak sepatutnya, malah berbicara, berdebat, bertelingkah dan mencaci-maki semata-mata menegakkan benang yang basah.

Apatah lagi dalam isu yang kesannya seperti pepatah Melayu, kalah jadi abu, menang jadi arang; terutama andai abunya ialah amalan ibadat kita atau arangnya adalah persaudaraan kita.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s