Melaka Bakal Dikunjungi Kapal Persiaran Mewah Semula

PELANCONGAN merupakan salah satu kegiatan dan sumber ekonomi serta sosial yang semakin penting dalam sesuatu negara, peningkatan jumlah pelancong dalam negeri dan antarabangsa menunjukkan Melaka adalah satu-satunya negeri yang menjana ekonomi hampir sepenuhnya melalui sektor pelancongan.

Di Melaka, terdapat 13 sub sektor pelancongan antaranya pelancongan sejarah, budaya, sukan, kesihatan, agro pelancongan, eko pelancongan dan pelancongan udara.

Pelancongan juga merupakan sektor yang melibatkan peranan yang saling kaitan antara pihak kerajaan, bukan kerajaan dan orang awam.

Dalam konteks Melaka, pelancongan menggunakan laluan udara, air dan darat terus menjadi sumber utama tukaran wang asing yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan guna tenaga.

Image result for pelabuhan negeri melaka
Salah satu pelabuhan di Melaka iaitu Pelabuhan Tanjung Beruas

Perkembangan industri pelancongan melalui laluan laut (pelancong yang menaiki kapal persiaran mewah dari luar negara dan melalui selat Melaka akan singgah di Melaka dan turun ke darat bagi aktiviti pelancongan).

Kebanyakan pengendali kapal persiaran memilih Melaka sebagai destinasi pilihan untuk singgah dan melancong kerana keadaan muka bumi yang strategik.

Negeri Melaka dilihat mampu menarik pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan bagi membuka satu lagi sub sektor pelancongan di mana kerajaan negeri akan lebih fokus dalam usaha memperbaharui kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan luar.

Di samping meningkatkan usaha berterusan bagi mempromosikan pelancongan tempatan sekali gus dapat memperkenalkan budaya negeri Melaka yang unik lagi istimewa kepada dunia luar.

Ini kerana Melaka mempunyai penduduk berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Portugis, Jawa dan lain-lain.

Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa yang mampu menarik minat pelancong asing.

KAPAL PERSIARAN KEMBALI KE MELAKA

Kerajaan negeri melalui Jabatan Laut akan mengembalikan kegemilangan negeri Melaka dalam menarik pelancong luar menerusi laluan laut di Pelabuhan Marina dalam tempoh dua tahun akan datang.

Ketua Jabatan Laut negeri, Mohd Reduan Mohd Ali berkata, kerja-kerja pengorekan laut bagi keselamatan pelayaran sudah dimulakan sejak Mei lalu.

Katanya, usaha mengembalikan negeri Melaka sebagai pusat persinggahan pelancong melalui jalan laut sejak zaman kegemilangan Melayu Melaka dahulu mampu direalisasikan.

PROJEK PENGOREKAN 4 METER LEBIH DALAM

Jelas Reduan, bagi menyokong Pelancongan Kapal Persiaran di Melaka, kerja-kerja pengorekan dijalankan secara berperingkat.

“Bagi projek pengerukan di Jeti Pelabuhan Marina sahaja melibatkan kos RM5.6 juta dengan kedalaman hampir 4 meter ke dasar laut.

“Jeti Pelabuhan Marina ini dilihat mampu untuk menampung dua kali ganda pelancong yang turun dari kapal persiaran di Jeti Pelabuhan Parameswara di Banda Hilir sekali gus mampumengembalikan kegemilangan Melaka sebagai laluan perdagangan satu masa dahulu dan kini menjadi laluan laut bagi sektor pelancongan,” jelasnya.

JETI PELABUHAN MARINA (JPM) VS PELABUHAN PARAMESWARA (JPP)

Menurut Mohd Reduan, Jeti Pelabuhan utama buat masa kini adalah Jeti Pelabuhan Parameswara (JPP) dan akan datang Jeti Pelabuhan Marina (JPM) direncanakan akan menjadi ‘Port’ pelancong turun ke Melaka menggantikan Jeti Pelabuhan di Port Dickson yang dilihat ketika ini ‘mencantas’ negeri Melaka kerana kekurangan infrastruktur sebagai faktor utama.

Menurutnya, pelbagai manfaat yang dapat diraih apabila JPM itu berjaya disiapkan kerana dalam tempoh satu masa, JPM mampu menampung lebih banyak pelancong yang turun mendarat ke Melaka berbanding menggunakan JPP dengan jumlah yang kecil.

“Antara faktor yang menyebabkan JPP tidak mampu menampung lebih ramai pelancong untuk turun ke darat adalah kerana faktor kedalaman di JPP hanya 2 meter sahaja.

“Berbanding di JPM, projek pengerukan dibuat hingga 4 meter dalam dan mampu menampung sehingga 3 hingga 4 kapal dalam satu masa.

“Kejadian ini mampu untuk menjimatkan masa penumpang atau pelancong yang akan berlibur di darat sekali gus dapat menurunkan lebih ramai pelancong turun ke Melaka,” jelasnya.

STATISTIK PELANCONG KAPAL PERSIARAN KE MELAKA

Jelas Mohd Reduan, di JPP, hanya satu kapal kecil dengan seramai 200 pelancong sahaja untuk berlabuh pada satu-satu masa.

Manakala, di JPM, ia mampu melibatkan lebih banyak kapal berlabuh dan pelancong boleh turun menggunakan bot perantaraan sehingga 800 pelancong pada tempoh satu masa dan mampu menampung sehingga hampir 4,000 orang di jeti pelabuhan terbabit.

“Bagi tempoh 2 hingga 30 Januari 2019, sebanyak tujuh kapal persiaran mewah telah berlabuh melibatkan seramai 3,946 pelancong.

“Bagi tempoh 12 hingga 27 Februari 2019, sebanyak tujuh kapal persiaran mewah berlabuh melibatkan 4,399 dan seramai 3,167 pelancong melalui empat kapal pesiaran mewah dari tempoh 13 Mac hingga 31 Mac.

“Sementara itu, tiada kapal berlabuh bagi bulan April dan hanya sebuah kapal pesiaran berlabuh di Melaka dengan melibatkan 90 pelancong bagi tempoh sehingga awal Mei lalu,” katanya.

Ujarnya, jumlah keseluruhan penumpang kapal pesiaran yang melancong ke Melaka bagi tempoh Januari hingga Mei 2019 adalah seramai 11,602 pelancong.

“Dan kesemuanya mendarat dan turun di JPP, dilihat jumlah tersebut mampu meningkat apabila JPM siap sepenuhnya dalam tempoh masa dua tahun akan datang,” katanya.

Berita diambil dari Melaka Kini