Selepas 25 tahun, CHP Kembali Menguasai Istanbul

1. KOTA besar Istanbul yang terkenal sebagai pusat kuasa ekonomi, warisan sejarah dan kebudayaan yang tersohor dunia telah melakar sejarah barunya dalam politik Turki. Selepas 25 tahun penguasaan AK Parti (AKP) dan parti lama Erdoğan, jawatan datuk bandar Istanbul kembali disandang oleh Parti Republikan Rakyat (CHP), apabila Ekrem Imamoğlu menewaskan mantan perdana menteri Turki Binali Yıldırım dengan keputusan luar biasa. Ekrem kini memimpin bandar metropolitan terbesar di Turki yang berjumlah 16 juta penduduk.

2. Pada 23 Jun lalu, Ekrem berjaya meraih 54% dengan majoriti luar biasa sebanyak 777,581 undi menewaskan anak buah Erdogan daripada AKP tersebut dengan 45%. Majoriti yang bertambah sebanyak 530,000 undi dengan 60 kali ganda undian sebelum ini, telah mengejutkan para pemimpin dan penyokong AKP. Pertambahan tersebut amat luar biasa berbanding majoriti 13,000 yang diraih Ekrem pada 31 Mac lalu. Pastinya, fenomena kekalahan AKP ini menarik untuk dipelajari dan dimuhasabahkan bersama.

3. Turki melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan setiap lima tahun sekali dengan pertandingan bagi empat lapis jawatan di seluruh Turki termasuklah jawatan datuk bandar metropolitan, datuk bandar peringkat daerah, datuk bandar peringkat dewan perbandaran (municipal council) dan ketua kejiranan. Dalam pilihanraya 31 Mac lalu, AKP kekal mendahului majoriti di banyak kawasan, namun terpaksa melepaskan bandar metropolitan utama seperti Istanbul dan Ankara kepada musuh tradisinya, CHP.

4. Atas dakwaan berlaku kecurangan dan penipuan dalam proses pengiraan undi bagi jawatan datuk bandar Istanbul, AKP telah memohon pilihan raya semula diadakan. Keputusan untuk membatalkan pilihan raya bukan pertama kali dalam sejarah Turki. Kerajaan AKP pernah memegang rekod mengadakan semula pilihan raya pada tahun 2015 kerana dikatakan Erdogan tidak suka keputusan tersebut iaitu gagal mencapai majoriti.

Image result for turki

5. Menarik kali ini, ungkapan keramat Erdogan, “Sesiapa yang menguasai Istanbul, dia menguasai Turki” seakan-akan memakan dirinya apabila Ekrem dan pendokong tegar CHP berjaya menawan kubu kuat AKP itu daripada AKP selepas 25 tahun. Erdogan, ahli politik yang hebat ini telah menjadikan ‘launchpad’ kerjaya politiknya dengan menjawat posisi datuk bandar Istanbul antara 1994 dan 1998, sehingga berjaya menduduki istana presiden. Kini, beliau terpaksa akur dengan suara keramat warga Istanbul. Istanbul bukan lagi milik AKP.

6. Pilihan raya pusingan kedua ini (dalam tempoh tiga bulan) dianggap sebagai persaingan antara cengkaman kuasa Erdogan dan Ekrem sebagai taruhan CHP. Pertarungan tersebut turut menyaksikan Ekrem diasak secara langsung oleh Erdogan dalam siri jelajah dan kempennya menjelang pilihan raya kerajaan tempatan tersebut.

7. Paling memilukan, kekalahan kali kedua ini satu tamparan hebat dan memalukan buat Erdogan dan AKP. Permintaan AKP mengadakan pilihan raya semula turut mengundang kecaman dan serangan kepada AKP. Penganalisis politik seperti Sinan Ulgen (EDAM dan Carnegie Europe) mendakwa AKP telah memainkan kad mangsa (playing victim card) bagi meraih simpati rakyatnya, setelah ditewaskan oleh CHP pada 31 Mac lalu.

MENGAPA EKREM MENANG?

8. Ekrem Imamoğlu, sebelumnya merupakan datuk bandar di Beylikduzu (salah satu bandar penting di Istanbul) semenjak 2014 yang memiliki rekod baik dalam mentransformasi bandar Beylikduzu daripada “bandar tiada manusia” kepada “taman hijau”. Ekrem terlibat dalam bisnes restoran dan pembinaan sebelum aktif dalam politik pada tahun 2008.

9. Dalam pilihan raya kali ini, Ekrem mengambil pendekatan yang lebih ‘engaging’ – mendengar dan bertemu muka secara langsung tidak mengira ideologi. Jentera CHP melancarkan kempen lebih inklusif dan “turun padang” ke jalanan, kafe, kedai, taman permainan dan taman-taman. Ekrem dalam tulisannya dalam The Washington Post menjelaskan, beliau telah berkempen kepada orang yang dalam perjalanan pergi kerja, ke sekolah dan ke masjid. Beliau juga menzahirkan dirinya sebagai seorang yang mencintai kepelbagaian (diversity) dalam kerencaman masyarakat Turki.

10. Kempen Ekrem juga dilihat berhasil melalui pendekatan “menjauhi” kritikan terhadap Erdogan sebaliknya menumpukan isu-isu yang dekat dengan rakyat biasa seperti ekonomi, gaji minimum, kemiskinan bandar, kezaliman, korupsi dan penyelewengan, pendidikan kanak-kanak, pengangguran orang muda dan isu wanita dan golongan tidak terbela. Ekrem mengelak daripada membicarakan projek mega dan strategi pelaburan gergasi sebaliknya mengutarakan isu sekitar belanjawan untuk kebajikan sosial.

Image result for turkey election

11. Ekrem telah mendakwa Dewan Bandaraya Metropolitan Istanbul telah menyalahgunakan kuasa dan menyelewang dana yang mencecah USD$4 bilion. Terdapat penyokong AKP yang memuji pemodenan Istanbul tetapi membangkitkan isu kronisme dalam projek-projek kerajaan. Mehmet Yilmaz misalnya berkata: “Mereka (AKP) telah membina jalan raya dan jambatan, tetapi mereka menyerahkan konsesi pembinaan pada kawan-kawan mereka”. Isu tadbir urus yang curang tersebut dilihat mempengaruhi keputusan pilihan raya tersebut.

12. Ekrem juga menentukan fokus utamanya adalah menguruskan bandaraya Istanbul dengan lebih baik serta memastikan jentera dan pegawai kerajaan tempatan yang lebih responsif dan menyelesaikan masalah rakyat.

13. Ekrem menyatakan akan mengubah Istanbul melalui kasih sayang dan saling menghormati. Beliau percaya konsep ini merupakan ubat mujarab dalam mendepani polarisasi yang ekstrim dan populisme. Ini juga berhubung langsung isu pelarian Syria dan kebanjiran pelajar dan rakyat asing ke Istanbul.

14. Majoriti luar biasa yang diraih Ekrem juga datang daripada sokongan parti komponen Barisan Negara (Nation Alliance) yang terdiri daripada Iyi party, HDP, Saadet serta blok pembangkang daripada parti-parti kecil di Turki. Sokongan yang solid tersebut berjaya menewaskan Pakatan Rakyat (People Alliance) yang diterajui AKP dan MHP.

15. Faktor terbesar peralihan undi secara massa (swing votes) berpunca daripada kelemahan pengendalian ekonomi Turki ketika serangan mata wang lira pada tahun 2018 yang menjunam teruk sebanyak 40 peratus berbanding dolar Amerika. Rakyat Turki khususnya sektor usahawan dan industri yang amat terkesan dengan tragedi tersebut telah “menampar” kerajaan Erdogan melalui peti undi pada 23 Jun lalu.

16. Ini juga berkait rapat dengan dasar kerajaan terhadap punca serangan mata wang iaitu isu penahanan paderi Andrew Brunson selama dua tahun kerana dituduh terlibat dalam cubaan kudeta. Perang dingin antara Amerika Syarikat dan Turki secara langsung menjadi punca kemerosotan ekonomi Turki.

17. Penentangan terhadap Erdogan juga amat kuat selepas referendum rakyat yang memutuskan perubahan sistem presidential secara eksekutif dilaksanakan. Ramai yang berpandangan langkah tersebut sebagai mengukuhkan kuasa Erdogan, dengan tagline ‘One-Man Rule’ oleh penganalisis politik Marc Pierini (Carnegie Europe).

IMPAK KEJAYAAN CHP

18. Menurut Sinan Ulgen, “(Kejayaan) ini pastinya akan memberikan impak (meningkatnya) dalam margin kejayaan (CHP). Ini adalah isyarat yang membimbangkan terhadap kekuasaan AKP.” Sinan juga mendapati “…pengundi Turki semakin menjauhi kerajaan pemerintah. Ada risiko besar buat AKP iaitu kehilangan hegemoni dalam politik Turki.”

19. Menurut Erdogan, “Walaupun CHP menguasai jawatan datuk bandar Istanbul, AKP masih lagi mempunyai suara dalam keputusan penting kerana AKP mengawal dewan bandaraya dan meluluskan belanjawan tahunan. Sebagai datuk bandar, Ekrem hanya seperti (sekecil) hiasan di bingkai tingkap kedai.” Sindiran Erdogan tersebut boleh ditafsirkan Erdogan tidak tercabar dengan kejayaan tersebut.

20. Kejayaan CHP di bandaraya utama secara tidak langsung berpotensi meningkatkan hasil kewangan kepada pembangkang. Perlu diketahui, Istanbul menyumbang lebih 40 peratus kepada hasil bercukai (tax revenue) dan merupakan penyumbang ketiga tertinggi keluaran dalam negara kasar (GDP). Tidak hairanlah jika Erdogan amat terkilan dengan kekalahan ini kerana beliau cukup faham sumber kewangan yang boleh dijana bernilai berbilion dolar daripada sektor utama ekonomi di Istanbul.

21. Pasca pilihan raya ini, kemungkinan besar akan berlaku rombakan kabinet kerajaan dan perubahan dalam dasar luar negeri. Dengan penguasaan CHP tersebut, tidak mustahil untuk mempercepatkan pilihan raya umum dan presiden lebih awal dari tahun 2023.

22. Dengan kuasa baru ini, CHP berperanan dalam menentukan polisi pengurusan acara sosial, keagamaan, pendidikan dan kebudayaan di bandar-bandar metropolitan yang dikuasainya. Ini termasuklah program agama, aktiviti kemanusiaan, kegiatan pelajar antarabangsa, sokongan dan logistik kepada gerakan Islam yang semakin ramai berlindung khususnya di Istanbul. Bagi penulis, pengaruh yang lebih seimbang diperlukan bagi mengekalkan “Turki yang rahmah” membantu manusia yang diuji dengan konflik, kesusahan dan bencana. Elemen Soft Power ini adalah karakter Turki yang wajar dipertahankan.

23. Daripada kenalan penulis yang tinggal di Turki, rata-rata menyatakan kerisauan mereka dengan kejayaan CHP apabila menguasai kota-kota besar khususnya dalam aspek penghayatan agama Islam, kebajikan dan kemanusiaan. Daripada sumber kedutaan Turki di Malaysia pula, ada yang lebih terbuka dan positif mendepani perubahan ini dengan harapan agar Turki lebih baik pada masa hadapan.

24. Sebagai pemerhati, sifat Ekrem wajar dipuji sebagai ahli politik yang matang dan rasional ketika ucapan kemenangannya. Ekrem berjanji “…untuk bekerjasama secara konstruktif dan harmoni dengan kerajaan Erdogan, tetapi kekal dalam prinsip bila diperlukan. Ini bukan satu kejayaan. Tetapi satu permulaan yang baru,” ujar Ekrem.

25. Ringkasnya, demokrasi di Turki semakin meriah dengan polemik yang mewarnai lanskap politik Turki. Pengaruh Pakatan Rakyat (AKP dan MHP) semakin merosot dan “goyang” dengan kebangkitan CHP dan penolakan sebahagian rakyat kepada mereka. Situasi tersebut menuntut mereka terus bekerja, lebih adil dan peduli kepada nasib rakyat dan masa depan Turki. Dasar-dasar kerajaan yang sedia ada perlu ditambahbaik dan lebih menumpukan isu ekonomi, kebajikan rakyat dan keselamatan negara.

26. Perkembangan politik dalaman Turki ini wajar diperhalusi bersama kerana ia berhubungan langsung dengan peranan Turki di peringkat antarabangsa. Dasar luar, geopolitik dan isu kemanusiaan khususnya konflik Syria, keselamatan sempadan, terorisme, kebajikan pelarian, strategi ketenteraan bersama Rusia dan Iran, dasar dengan negara-negara Timur Tengah, Amerika Syarikat dan Eropah amat berkait rapat dengan umat Islam. Daripada perspektif wacana hubungan Turki-Eropah pula, proses keanggotaan Turki dalam Kesatuan Eropah (EU) menuntut sistem pilihan raya yang telus, keluhuran undang-undang dan demokrasi yang subur mengikut “rentak dan gaya” yang ditetapkan oleh EU.

27. Sejauhmanakah “kerjasama harmoni” Ekrem dan Erdogan dalam tempoh 4-5 tahun mendatang? Sama-sama kita saksikan.

Safwan Saparudin

*Penulis merupakan pelajar Ph.D Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia dan pengasas Euromates.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s