Agihan kerusi PRU15 Pengukur Sebenar Hubungan PAS & Umno – Penganalisis

Keikhlasan dalam kerjasama politik yang dipamerkan PAS dan Umno hanya boleh diukur dari segi pengagihan kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir.

Buat masa ini, katanya, kerjasama dua parti dominan Melayu itu belum boleh dikatakan berada pada tahap yang betul-betul erat.

“Belum (erat). Keraguan masih lagi timbul, keikhlasan masih belum timbul. Jadi penentunya adalah menjelang pilihan raya, sama ada mereka betul-betul tak berlaku pertembungan atau tidak, (dilihat daripada) bagaimana mereka mengagihkan kerusi.

“(Sama ada) mereka mengelakkan pertembungan di kerusi yang mereka ada kepentingan. (Di situ) baru kita (dapat) tengok. Sekarang mereka masih lagi dalam usaha untuk lebih memahami perasaan masing-masing.

“Tapi jauh lebih baik daripada dulu, kerana sejarah PAS-Umno ini penuh dengan permusuhan, kerjasama itu tak semudah yang kita fikirkan. Kompleks,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kerjasama PAS dan Umno kini memasuki fasa baru apabila pada 22 Jun, perwakilan Muktamar PAS sebulat suara meluluskan usul ke arah menjalinkan tahaluf siyasi (kerjasama antara gerakan) dengan parti Umno.

Dengan kelulusan usul itu, ia membuka jalan untuk jalinan hubungan ke tahap yang lebih jauh yang akan melibatkan perjanjian dan syarat-syarat tertentu.

Menurut Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, proses ke arah tahaluf siyasi dengan Umno sedang dimulakan.

Prof Madya Dr Jeniri Amir

Ketika mengulas tentang beberapa suara perwakilan dalam muktamar yang banyak membangkitkan kebimbangan terhadap kerjasama dengan Umno, Abdul Hadi memberi jaminan itu hanyalah suara terpencil semata-mata.

Sepanjang muktamar berlangsung, biarpun semua perwakilan menyokong kerjasama dengan Umno, banyak juga yang menyuarakan kebimbangan mereka dan meminta PAS “berhati-hati” dengan Umno.

Kata Jeniri, kerjasama dengan Umno bukanlah soal setuju atau tidak bagi anggota PAS, tetapi soal menumbangkan PH dan memenangi PRU akan datang.

“Akhirnya yang menjadi perhitungan mereka adalah survival politik mereka. Mereka nak pastikan mereka menang dalam PRU akan datang dan menumbangkan PH.

“Jadi ini bukan soal bersetuju atau tidak bersetuju (terhadap kerjasama). Saya fikir kalau pemimpin tertinggi PAS sudah bersetuju, Umno juga sudah bersetuju, saya fikir yang di bawah akhirnya akan ikut.

“Walaupun (mungkin) akan ada suara-suara sumbang, (tetapi) agenda utama mereka dalam PRU nanti adalah menumbangkan PH. Dan itu hanya dapat dimungkinkan dengan kerjasama yang betul-betul jujur dan rasmi,” katanya lagi. Nyanyi lagu Umno

Sementara itu, turut diminta mengulas tentang video tular yang memaparkan anggota PAS menyanyikan lagu parti Umno, kata Jeniri, ia merupakan manifestasi kepada komitmen dan kesungguhan PAS dalam kerjasama yang dijalin.

“Bukan mudah untuk menyanyikan lagu parti lain. […] Jadi boleh kita tafsirkan, walaupun menerima kritikan daripada sesetengah pihak, itu merupakan manifestasi kepada komitmen dan kesungguhan, emosi dalaman pemimpin dan juga ahli PAS yang terbabit,” katanya.

Dalam video pendek tersebut, dua individu berbaju PAS dilihat berdiri di hadapan majlis dipercayai anjuran Umno yang sedang memainkan laguUmno iaitu ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat‘.

Salah seorang daripada individu itu dilihat turut menyanyikan bait lirik lagu tersebut bersama hadirin yang hadir, manakala seorang lagi dilihat hanya tunduk dan tidak turut serta.

Mengulas lanjut, Jeniri yang mengakui telah menonton video itu berkata, kejanggalan yang dipamerkan kedua-dua lelaki itu itu boleh difahami memandangkan situasi mereka yang boleh mengundang dilema.

“Memang mereka serba salah, kerana kalau menyanyi, ini akan dianggap sebagai bertentangan dengan sentimen yang berlaku di bawah (akar umbi).

“Tapi kalau tidak (menyanyi) juga dilihat tidak baik, (seperti) tidak menghormati. Jadi, ini berlaku apa yang diistilahkan ‘ambivalent’, dalam dilema. Mereka terperangkap. Mahu menyanyikan atau tak?

“Kalau menyanyikan (takut) akan dilihat sebagai sudah lebih, sudah melampau. Tapi kalau tak menyanyi pun (takut) boleh dilihat sebagai tak menghormati majlis itu,” ulas Jeniri lagi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s