Dewan Rakyat lulus turun had usia belia kepada 30 tahun

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

RUU Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 diluluskan selepas dibahaskan hampir lima jam oleh 17 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

RUU itu dibentangkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Selain menurunkan had umur, pindaan lain membabitkan peruntukan tempoh pemegang jawatan dalam sesuatu pertubuhan iaitu tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

Syed Saddiq ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, berkata pindaan pada akta berkenaan mampu memperkukuhkan peranan dan tanggungjawab belia di Malaysia.

“Dewasa ini pertubuhan pergerakan belia sedia ada dilihat semakin lesu dan tidak lagi menjadi medium penting perhubungan belia dengan jumlah keahlian yang semakin berkurangan.

“Kelesuan pergerakan belia ini didasari dua faktor utama iaitu kegagalan mengadaptasi perubahan dalam corak gaya hidup dan pemikiran belia masa kini serta kurangnya pimpinan pelapis yang boleh menggantikan pemimpin belia sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, kelesuan dalam pertubuhan pergerakan belia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana kementerian melihat pertubuhan terbabit masih relevan sebagai medium membangunkan belia

“Pindaan ini menyasarkan supaya transisi kepemimpinan belia daripada belia berumur 40 kepada 30 tahun akan berlaku dalam persekitaran yang lebih tersusun dan sistematik.

“Secara rasionalnya, Akta 668 akan memberi implikasi berganda kepada pembangunan belia dengan perubahan yang dilaksanakan terutama pindaan ke atas tafsiran had umur belia,” katanya.

Terdahulu, pada sesi perbahasan RUU itu, kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang menyokong pindaan akta terbabit bagi memperkasakan belia.

Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-UMNO Lenggong) berkata, pindaan yang dibentangkan itu amat baik namun mencadangkan supaya had umur itu dinaikkan kepada 35 tahun berbanding 30 tahun.

“Tiada masalah (untuk menyokong) namun had umur tafsiran belia sewajarnya dinaikkan kepada 35 tahun kerana usia itu boleh dianggap sebagai matang dan lagi satu kenapa tiada perbincangan akhir dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) berhubung pindaan ini,” katanya.

Noor Amin Ahmad (PH-PKR Kangar) berkata, dakwaan pembentangan RUU itu sebagai tergesa-gesa sebagai tidak tepat dan sudah tiba masanya akta berkenaan dipinda.

“Meskipun ada yang berpendapat pembentangan RUU ini tergesa-gesa, bagi saya ia sudah terlewat kerana apa yang cuba dibawa oleh menteri bukan perkara baru dan ia harus disokong,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s